Tiru Amalan Nenek Moyang – Harian Metro

Tiru Amalan Nenek Moyang – Harian Metro

MENYAMBUT kehadiran ‘orang baru’ dalam keluarga tentunya memberikan seribu satu perasaan yang sukar digambarkan. Apatah lagi bagi pasangan suami isteri yang menanti kelahiran cahaya mata sulung. Mereka pasti kurang pengalaman bukan saja dalam menyediakan keperluan tetapi pendidikan keibubapaan.

Ada yang resah menentukan apa yang harus dilakukan terlebih dulu sama ada mahu membeli pakaian bayi, kelengkapan bilik tidur, keperluan penyusuan, kereta tolak atau tempat duduk bayi di kereta. Dalam hal ini, tentunya bajet menjadi perkara utama.

Menurut Pengarah Urusan Lunaworks Sdn Bhd serta kaunselor penyusuan, Siti Nur Suraya Mohamed Ali, pendedahan kepada pendidikan keibubapaan secara alami atau semula jadi kini semakin dititikberatkan ibu bapa. Di Barat misalnya, ramai penjaga moden memilih membesarkan anak-anak menerusi penyusuan susu ibu, makanan semula jadi serta penggunaan lampin kain yang menjadikan anak-anak lebih stabil emosi dan fizikal.

Sebagai contoh, penggunaan gendong berbanding kereta tolak membuatkan bayi lebih rapat dengan ibu sekali gus menjadikan mereka berkeyakinan apabila dewasa. Ini kerana bayi sentiasa mendengar degupan jantung ibu apabila mereka digendong ke mana saja.
“Ini berbeza dengan anak-anak yang diajar menggunakan kereta tolak sejak lahir. Mereka lebih mementingkan diri sendiri, takut dan kurang yakin apabila berhadapan dengan orang ramai,” katanya.
Suraya memberitahu, penting bagi ibu bapa berubah kepada asuhan cara alami seperti mana ibu bapa dan nenek moyang pada zaman dulu. Mereka tidak memberikan susu formula sebaliknya menyusukan bayi secara eksklusif selama dua tahun. Ibu bapa dulu juga tidak pernah membelikan makanan segera di dalam tin atau botol tetapi memasak sendiri malah menggunakan lampin kain dalam kehidupan seharian.

“Jika dilihat, pendidikan alami ini memberi kesan positif terhadap tumbesaran kanak-kanak. Jiwa mereka lebih stabil dan mereka mempunyai hubungan erat dengan ibu bapa berbanding anak-anak zaman sekarang yang agak degil, tidak menghormati orang tua dan kurang yakin pada diri sendiri,” ujarnya.

Jelas pengusaha lampin kain Lunatots ini;

Perkara pertama yang perlu dilakukan bakal ibu adalah membuat persediaan mengenai penyusuan susu ibu. Ini boleh dilakukan sebaik saja kehamilan pada tiga bulan pertama dengan mendapatkan maklumat mengenai penyusuan di Internet, buku dan majalah serta membuat perancangan sama ada anda ingin menggunakan pam susu manual, elektrik, bateri atau pam tangan menerusi corak pekerjaan.

“Bagi wanita yang sering bergerak ke sana sini atau ke luar daerah, pilih pam moden menggunakan bateri, ringan dan senang dialih. Walaupun harganya agak mahal, ia sangat berbaloi dan memberi kepuasan kepada ibu. Dapatkan juga ilmu mengenai teknik penyimpanan susu ibu dengan pakar laktasi serta cara penyusuan yang betul selepas menghantar anak ke rumah pengasuh atau pusat penjagaan kanak-kanak.

“Ini kerana terdapat pelbagai kes kemalangan seperti tercekik susu, lemas atau terjatuh berlaku di pusat penjagaan kanak-kanak. Jadi dengan sedikit ilmu, ia mampu mengelak perkara buruk berlaku,” katanya yang menggalakkan penyusuan susu badan bagi membolehkan ibu menurunkan berat badan dengan segera.

Persediaan kedua sama pentingnya dengan penyusuan susu ibu ialah menggunakan lampin kain yang lebih menjimatkan serta mengelak daripada masalah kesihatan pada kulit bayi. Di pasaran, terdapat pelbagai jenis lampin kain yang boleh digunakan.

Walaupun harganya agak mahal, sekiranya dihitung dengan lampin pakai buang selama tiga tahun ia jauh lebih murah dan menjimatkan. Malah lampin kain mampu menghalang pencemaran alam sekitar kerana mudah dilupuskan serta tahan lama sehingga 10 tahun, bergantung kepada penjagaan.

“Ibu juga boleh menggunakan lampin kain bukan saja untuk anak pertama malah kedua, ketiga dan seterusnya Walaupun ia agak leceh dan renyah, seperti kata pepatah alah bisa tegal biasa, semuanya mampu dilakukan dengan kesungguhan dan niat yang betul,” ujarnya yang kini mempunyai tujuh cawangan Lunatots di seluruh negara.

Bakal ibu pasti teruja mendapatkan pakaian si kecil kerana di pasaran terdapat pelbagai jenis rekaan daripada jenama berbeza. Namun ibu dinasihatkan jangan terlalu rambang mata membeli terutama berukuran kecil kerana bayi cepat membesar. Pilih pakaian bersesuaian dengan cuaca di Malaysia.

“Romper kapas paling sesuai dan praktikal kerana menyerap peluh. Ada juga ibu menggunakan sarung tangan dan kaki kepada bayi namun saya tidak menggalakkannya kecuali sekiranya cuaca terlalu sejuk. Tujuan pemakaiannya adalah menghalang wajah bayi di cakar jari sendiri. Buat permulaan memang ada benarnya namun selepas beberapa kali bayi akan mengetahui ia menyebabkan kesakitan dan lama-kelamaan mereka tidak akan melakukannya,” ulasnya yang turut tidak memakaikan sarung tangan kepada anak kedua dan mendapati kecekapan dan kepantasan dalam kemahiran motor begitu terserlah.

Kebanyakan ibu bapa tidak mengetahui penggunaan sarung tangan dan kaki menghalang proses mengenali rasa. Biarkan bayi belajar secara semula jadi mengenali deria seperti lembut, licin, kasar dan halus bagi memperkuatkan kemahiran motor mereka.

Selain itu ramai bertanya mengenai kebaikan penggunaan bedung dan barut, pada zaman dulu sebaik saja dilahirkan bayi akan terus dibedung dan dibarut bagi membolehkan mereka berasa tenang sama seperti di dalam perut ibu dan melindungi perut bayi daripada kembung dan berasa kurang selesa. Oleh itu pilih barut dan bedung yang mampu memberi keselesaan kepada bayi.

“Dalam hal ini pentingnya pendidikan keibubapaan kepada bakal ibu bagi membolehkan mereka tidak cepat panik. Misalnya apabila bayi menangis tidak semestinya mereka lapar, padahal kurang selesa, kembung perut, digigit serangga dan bising adalah di antara punca bayi menangis,” ujarnya.

Bagi ibu yang biasa menggunakan puting untuk menenangkan bayi sebenarnya puting akan mengganggu penyusuan susu ibu. Ini kerana apabila bayi menghisapnya lama-kelamaan mereka akan letih dan minum susu sedikit saja. Ini secara tidak langsung mengganggu proses tumbesaran apabila bayi tidak mendapat khasiat susu secukupnya. Selain itu puting mengganggu proses bayi mengeluarkan suara dan belajar bercakap.

“Manusia memerlukan komunikasi kerana ia sangat penting dalam kehidupan harian.
Begitu juga dengan bayi mereka juga ingin mengeluarkan suara dan menyebut perkataan sendiri. Dengan memberi puting proses ini akan terbantut,” katanya.

Suraya juga menolak pendekatan digunakan Barat iaitu memisahkan tempat tidur anak sebaik saja dilahirkan. Namun dia tidak menolak penggunaan katil bayi untuk keselamatan tetapi bayi harus diletakkan di dalam bilik yang sama dengan ibu. Ini kerana pada usia sebulan sehingga dua tahun kanak-kanak masih memerlukan susu ibu. Jadi dengan membenarkan anak-anak tidur bersama, ibu bapa akan lebih memahami keperluan anak-anak dalam pada masa sama perhubungan menjadi lebih erat.

“Di dalam Islam sendiri ada menekankan mengenai pentingnya memisahkan tempat tidur apabila anak menjangkau usia tertentu. Apabila sudah sampai masanya anak-anak perlu dilatih untuk tidur di bilik sendiri dan bukannya ketika masih bayi,” jelasnya.

Ada juga ibu bapa yang membelikan permainan sebaik saja bayi dilahirkan. Jika ingin membelinya, pastikan ibu bapa mendapatkan permainan tertera logo MC untuk keselamatan. Begitu juga dengan pemilihan barangan penjagaan bayi seperti mandian, losen, minyak bayi dan pelembap harus sesuai kulit agar tidak merengsa dan lembut. Selain itu mulakan pembelajaran sendiri di rumah bersama anak-anak sebagai satu proses semula jadi.

“Ramai ibu bapa beranggapan proses pembelajaran perlu dilakukan di sekolah dan membabitkan buku saja padahal banyak perkara yang boleh dimulakan misalnya dengan membacakan buku cerita pada setiap malam sebelum tidur bermula ketika bayi, sentiasa bercakap dengan anak-anak, kemahiran seperti mengenal apa yang ada di persekitaran misalnya buah-buahan, peralatan rumah, permainan dan unsur alam. Lama-kelamaan apabila ini menjadi amalan secara tidak langsung mampu membentuk emosi anak menjadi lebih stabil malah hubungan erat di antara ibu bapa akan terjalin sendiri,” katanya.